Eksesais Perang Tioman Siri III 2018 Terbesar Selepas 10 Tahun

15 Juli 2018


Eksesais Perang Tioman 2018 (all photos : TLDM)

KUANTAN (Bernama) -- Eksesais Perang Tioman siri tiga 2018 yang melibatkan hampir 900 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merupakan yang terbesar selepas kali terakhir diadakan 10 tahun lalu.

Panglima Wilayah Laut 1 Laksamana Muda Datuk Mohamad Adib Abdul Samad berkata eksesais selama tiga hari bermula 27 Jun lalu melibatkan kerjasama antara Markas Wilayah Laut 1 (Mawilla 1) Tanjung Gelang dan Markas Pemerintahan Armada Barat (MPAB) Lumut, Perak.



Selain itu, sebanyak 10 kapal TLDM, dua buah helikopter dari Lumut MPAB dan dua pesawat pejuang dari pangkalan tentera di Gong Kedak, Kelantan terlibat dalam eksesais yang diadakan di perairan Laut China Selatan.



"Latihan ini bertujuan menguji kompetensi anggota dan memastikan kesiapsiagaan aset pada tahap tertinggi selain memastikan perairan negara selamat daripada pencerobohan kapal asing."

"Eksesais seperti ini akan diadakan dari semasa ke semasa supaya anggota kita cekap dan berkebolehan menghadapi senario peperangan dan sebagai pendedahan kepada Pegawai Pasukan Simpanan Sukarela jika mereka mengikutinya," katanya kepada Bernama di Mawilla 1 di sini, hari ini.



Mohamad Adib menambah eksesais kali ini dimulakan dengan 'Latihan Janggal' melibatkan simulasi serangan sabotaj dari pihak musuh terhadap aset di pangkalan sebelum 'kapal TLDM diarahkan keluar bagi berdepan musuh'.

(Bernama)

Subscribe to receive free email updates: